Kisah berbentuk sejarah dan lagenda yang termashur mengenai Pulau Langkawi di zaman kini ialah kisah Mahsuri. Cerita Mahsuri pernah dipopularkan melalui filem dan tulisan-tulisan karya Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ringkasnya, Mahsuri, seorang anak perempuan kepada Pandak Mayah dan Mak Ndak Alang, yang terkenal kejelitaannya, tinggal di sebuah kampung, Mukim Ulu Melaka.
Beliau pernah berkahwin dengan Mohammad Deris, anak lelaki kepada Dato' Seri Kerma Jaya, selaku pemerintah Pulau Langkawi ketika itu. Mahsuri menjadi mangsa kepada perasaan cemburu dan hasad dengki ibu mertuannya sendiri. Akhirnya, Mahsuri ditangkap dan dihukum bunuh atas dakwaan ibu mertuanya yang beliau telah melakukan zina dengan Deramang, seorang peniaga dari Melaka. Sebelum Mahsuri dibunuh, beliau telah bersumpah dengan berkata "Pulau ini tidak akan makmur dan aman sehingga genap tujuh keturunan, kerana kezaliman yang dilakukan keatasnya".
Tuanku Abdul Rahman dalam '
The Curse of Mahsuri' menyatakan berlakunya pembunuhan Mahsuri itu adalah pada tahun 1829. Mengikut Tunku juga, terdapat bermacam peristiwa aneh terjadi selepas kematian Mahsuri. Segala peristiwa itu lebih kurang mengesahkan pelbagai akibat sumpahan Mahsuri. Yang terpenting iailah serangan angkatan tentera Siam keatas Kedah dan Langkawi yang dilancarkan tanpa sebab munasabahnya.
|
Potret yang dikatakan Wajah Mahsuri |
Akibat serangan tersebut Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah terpaksa melarikan diri ke Pulau Pinang. Ternyata banyak kekejaman dilakukan oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam peperangan ini. Akhirnya Dato' Kerma Jaya dan pemimpin-pemimpin lain terkorban dalam perang menentang Siam dan ekoran itu Pulau Langkawi serta Kedah mengalami zaman gelap dalam sejarahnya. Setelah itu, walaupun Langkawi memasuki zaman yang aman dan damai, tetapi seolah-olah pokok jarak sahaja yang tumbuh di merata tempat, dan burung terkukur sahaja yang dapat menikmati kedamaian di Langkawi.
|
Gambar Hiasan: Padang Jarak Padang Terkukur |
Mengikut Tunku Abdul Rahman, keadaan itu merupakan sumpahan Mahsuri. Versi sumpahan Mahsuri yang dikemukakan oleh Tunku membawa mesej Pulau Lanhkawi sehingga genap tujuh keturunan 'akan menjadi padang jarah padang terkukur'.
Pada waktu Tunku bertugas sebagai pegawai daerah di Pulau Langkawi, sumpahan Mahsuri nampaknya masih berkuasa. Melalui ingatan Tunku, tidak ada apapun yang betul di Pulau Langkawi. Tanaman padi senantiasa menjadi masalah dan hampir hampir setiap tahun pihak berkuasa terpaksa menghantar beras ke Langkawi. Tiada kejayaan di dalam mana-mana bidang urusniaga yang pernah dijalankan di pulau ini. Agaknya jangkamasa 'tujuh keturunan' baru habis dengan tamatnya tempoh masa 175 tahun sejak pembunuhan Mahsuri.
|
Sawah padi kering |
Lagenda Mahsuri memang menarik. Salah satu faktor yang meningkatkan minat di kalangan orang ramai ialah terdapatnya tempat-tempat dan cerita-cerita berkenaan dengan riwayat Mahsuri. Cerita-cerita dan tempat-tempat itu sentiasa menghidupkan semula peristiwa pahit seorang gadis yang tidak bersalah dalam fikiran pelawat-pelawat ke Pulau Langkawi. Misalnya, cerita Beras Terbakar di Kampung Raja, mukim Padang Matsirat; Telaga Mahsuri dan Kubur Mahsuri di Kampung Mawat, Ulu Melaka.
|
Kawasan Beras Terbakar di Kg Raja yang wujud hingga kini |
Jelas yang Mahsuri benar-benar pernah hidup pada suatu masa dalam sejarah Negeri Kedah. Tunku Abdul Rahman menyatakan yang Mahsuri meninggal dunia pada tahun 1829 manakala Mahmud Ali mengemukakan pertengahan abad ke 17 sebagai tarikh serangan angkatan tentera Siam yang akhir ke atas Negeri Kedah dan Pulau Langkawi. J.F. Augustin pula bertanya-tanya sama ada peristiwa kemusnahan 'Armada Kedah' yang berlaku dalam tahun1839 adalah satu daripada akibat sumpahan Mahsuri ke atas Langkawi.
Akhirnya, Ku Jusoh, seorang penduduk Langkawi yang tertua, menyatakan dalam tahun 1971 bahawa kisah Mahsuri ini berlaku 'lebih kurang 200 tahun dahulu', iaitu bukan selepas tahun 1800. Masalah kita sekarang: Bilakah sebenarnya berlaku kisah Mahsuri?
Mengikut sumber-sumber bertulis yang ada setakat ini, adalah jelas bahawa Pulau Langkawi dan Kedah diserang dengan serta merta oleh kuasa Siam pada tahun 1821. Anderson, seorang pegawai dengan syarikat Hindia Timur Inggeris yang bertugas di Pulau Langkawi diserang dan dimusnahkan oleh tentera Siam setelah Negeri Kedah jatuh ke tangan Siam dalam tahun 1821. Raja Ligor sendiri menerangkan tentang serangan tentera Siam di bawah kepimpinannya ke atas Langkawi, bahawa masyarakat Melayu di Pulau Langkawi memberontak menentang kuasa Siam. Angkatan tentera Siam yang dihantar ke situ menewaskan dan menakluki pulau tersebut.
|
Gambar Makam Mahsuri |
Selepas itu, pihak berkuasa Siam menghantar sepucuk surat memberitahu pihak British di Pulau Pinang terhadap kegiatan mereka sambil mendakwa yang Sultan Kedahlah yang menghasut orang Melayu di Langkawi memberontak menentang Siam.
Kedua-dua sumber ini mengesahkan yang Kedah dan Langkawi mengalami malapetaka akibat pertempuran dalam tahun 1821. Mengikut Anderson, misalnya, Pulau Langkawi nampaknya hampir kehilangan penduduknya. Penduduk lelaki yang berjaya melepaskan diri dari tangkapan tentera Siam, tidak lagi mempunyai rumah ataupun keluarga akibat kemusnahan yang dicetuskan oleh peperangan tersebut. Mereka terpaksa mencari sara hidup dengan merompak golongan peniaga di sekitar Pulau Pinang. Sebahagian daripada mereka juga telah berhijrah ke Province Wellesley dan diupah sebagai tenaga buruh dalam bidang pertanian situ.
Sebenarnya , sepanjang hubungan Kedah-Siam, angkatan tentera Siam menyerang Kedah satu kali sahaja iaitu pada tahun 1821. Antara tahun-tahun 1821-1839, Siam menduduki Kedah dan segala jajahan takluknya dan penduduk Siam itu menjadi sebab utama serangan Melayu ke atas Kedah untuk merampas kembali.
Serangan Melayu Kedah ke atas kerajaan Siam di Kedah berlaku tiga kali iaitu dalam tahun 1828-9 1831 dan 1838-9. Ternyata kekeliruan tentang tarikh serangan Siam ke atas Kedah berlaku kerana terdapat salah faham mengenai peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam tahun 1821-1839.
Dari sumber lisan yang ada, semua bersetuju bahawa beberapa tahun sejak Mahsuri dihukum bunuh, Siam menyerang Kedah dan Langkawi. Ini bererti bahawa pembunuhan Mahsuri berlaku sebelum1821. Kemungkinan besar yang kejadian itu terjadi dalam lingkungan sepuluh tahun sebelum serangan tentera Siam. Secara kasar, dapat kita tentukan yang sejarah Mahsuri berkemungkinan meliputi awal abad ke sembilan belas, iaitu sekitar tahun 1795-1815.
Adalah mustahil Mahsuri dibunuh selepas tahun 1821 kerana semenjak itu angkatan tentera Siam tidak lagi melancarkan kempen-kempen agresif ke atas masyarakat Melayu. Sebaliknya, angkatan tentera Melayulah yang melakukan tindakan egresif terhadap kuasa Siam di Kedah. Misalnya, kemusnahan 'angkatan laut' Negeri Kedah di Pulau Langkawi dalam tahun 1839 yang disebutkan oleh J.F Augustin sebenarnya adalah operasi
'Mopping-up' oleh kapal perang British ke atas parti pemberontak yang diketuai oleh Tengku Mohammad Saad bin Wan Ali. Pihak berkuasa Siam tidak langsung terbabit dalam operasi ini.
0 comments:
Post a Comment